Monday, April 30, 2012

Angan

Aku nak kongsi kisah tentang Si A. Suka hati kau nak fikir sama ada Si A ini sudah bekerja atau masih belajar. Dan lantak kau nak letak umur dia berapa.

Dan sekarang aku mahu kenalkan Gadis. Sekali lagi, suka kau lah nak membayangkan dia bagaimana. Aku cuma mahu berkongsi bagaimana Gadis meluangkan sehari masa senggangnya. Senang cerita, masa free lah.

Kaitan Si A dan Gadis?

Aku tak tahu kenapa dalam sehari yang Gadis luangkan untuk berlibur dan have fun kononnya itu, Si A sering kali muncul. Sama ada cara baik atau buruk, itu tugas kau tafsirkan. Sebab aku hanya sang pencerita. Faham?

Gadis keluar menunggu bas di hadapan rumah, duduk berjam-jam mengira kereta yang lalu lalang dan kemudian, Si A menyapa. Bas tiba, dia hilang.

Gadis duduk di sisi tingkap bas di belakang sepasang kekasih. Gadis senyum sendiri dan sekali lagi Si A muncul. Eh?

Ah, akhirnya sampai juga Gadis ke bangunan bernama Pusat Membeli-Belah itu. Perut berkeroncong.

Gadis pantas berjalan menuju medan selera sambil melintasi restoran-restoran mewah. Dan sekali lagi, Si A datang terjengul. Cukup saja pesanan nasi ayam buat mengalas perut bersama sirap limau. Sebelum menyudu nasi ke mulut, Gadis teringat seorang wanita di salah satu restoran mewah tadi. Sempat Gadis menjengah pinggan wanita itu, juga menu nasi ayam tapi kelihatan lebih enak. Hmm, Si A masih setia di sisi Gadis.

Usai makan, Gadis mulakan operasi menjelajah Pusat Membeli-Belah. Dari kedai baju, ke kedai kasut, kemudian singgah di kedai buku. Ah, hampir habis satu bangunan ditawaf. Sekarang kaki sudah lenguh macam baru berlari marathon. Gadis singgah minum di Kedai Kopi dan ya, Si A muncul lagi.

Aku pendek kan cerita sebelum kau semua mula bosan membaca. Mana Gadis pergi dan apa Gadis lakukan, pasti Si A akan muncul. Bukan hari itu sahaja, hari-hari. Walaupun Si A sering menyemak sama Gadis tapi Gadis suka benar dengan kehadiran Si A. Mengapa?

Si A adalah angan-angan dan Gadis pula membawa watak diri kita masing-masing. Mungkin jalan hidup dan harian kita tidak sama dengan Gadis tapi yang pasti Si A tetap akan bertandang.

Penat menuggu bas, angan-angan menyapa Gadis untuk memiliki kereta. Melihat pasangan kekasih, Gadis mula diulit angan-angan jika dia juga punya pacar hati.Melintasi restoran mewah dan melihat menu makanan orang lain yang lebih enak, Gadis ditemani angan-angan mengimpikan satu hari nanti agar dapat merasainya. Keluar masuk kedai, Gadis seronok bersama angan untuk beli itu dan ini. Duduk di kedai kopi, Gadis sambung dengan angan yang masih banyak bersisa.

Ah, siapa tak suka berangan kan? Aku suka. Apatah lagi kalau suatu hari angan-angan itu jadi kenyataan. Insya Allah.

No comments:

Post a Comment